Apa yang kita boleh buat selepas pengumuman harga minyak yang baru

Berbagai respon dan aduan diterima ekoran dari kenaikkan harga minyak ini dari kalangan pengundi dan warga Kuala Lumpur. Pihak kami memahami bahawa kenaikkan ini akan memberikan banyak masalah dan bebanan terhadap mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan juga mereka yang mempunyai pendapatan kurang dari RM 1500.

Mahu tidak mahu kita juga perlu bersatu hati untuk mewujudkan kembali gelombang kuasa rakyat bagi memastikan Kerajaan tidak sewenang-wenangnya mempergunakan mandat yang ada bagi melepaskan diri dari melaksanakan tanggungjawab sosial.

Buat masa ini kita sebagai rakyat tanpa mengira agama dan latar budaya perlu merancang perbelanjaan sosial. Bagi mereka yang merokok dan minum arak perlulah berhenti kerana itu membahayakan kesihatan. Yang berjudi pula inilah masanya anda kembali kepada fitrah dan menyimpan duit untuk perbelanjaan yang lebih penting. Aktiviti hiburan seperti melepak di kelab malam dan selalu keluar menonton wayang haruslah dikurangkan atau dihapuskan.

Selain itu, pelaburan terhadap perniagaan yang tidak pasti atau terlalu banyak struktur rangkaiannya haruslah diteliti bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Untuk berbelanja mewah sekarang bukanlah masanya. Pembelian kenderaan baru yang mewah wajar ditangani dengan melihat kepada aspek keperluan. Hatta bagi mereka yang mempunyai kenderaan pertama, dinasihatkan menangguhkan dulu rancangan pembelian kenderaan kedua dan seterusnya. Harga Kenderaan kini akan menjadi semakin murah dan ianya akan memerangkap sesiapa sahaja yang ghairah untuk menikmati kereta baru.

Pembelian perabot mewah dan juga barangan aksesori patut dinilai. Mana yang perlu kita belanja dan yang tidak kita abaikan dulu.

Selain itu, perbelanjaan bagi pakaian juga haruslah dikurangkan dengan kita meletakkan sasaran penggunaan pakaian sedia ada secara lebih aktif lagi tanpa membeli yang baru.

Perbelanjaan bagi telekomunikasi dan HP juga wajar dijimatkan dengan kita menghadkan pengunaannya khususnya pada aktiviti tidak perlu seperti SMS kepada program realiti. Selain itu, penggunaan pakej Televisyen berbayar juga haruslah dijimatkan kerana kita tidak melihat banyak rancangan TV setiap hari. Mana yang tak perlu mungkin boleh dibatalkan.

Sebenarnya kita memang terdesak dan terhimpit dengan masalah kenaikkan ini. Kita perlu bersatu desak kerajaan melakukan penstrukturan dasar fiskal dan ekonomi negara. Dalam masa yang sama kita juga perlu strukturkan perbelanjaan kita kepada perkara yang lebih utama seperti makan minum, susu anak, dan juga aktiviti yang boleh mendapatkan pulangan bermanfaat untuk kita.

Tinggalkan jawapan