Hansard 080709-Cadangan bagi menjadikan Kampung Baru sebagai homestay hub

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Minta maaf Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya sebenarnya tidak dapat mengemukakan apa yang ingin saya tanya pada masa saya berucap hari itu kerana hanya 10 minit sahaja diperuntukkan.

Jadi di sini saya ingin bertanya adakah Yang Berhormat Menteri boleh menerima cadangan iaitu supaya mengekalkan Kampung Baru itu dalam keadaan dia sekarang sebagai sebuah kampung tradisi di tengah-tengah Bandar raya Kuala Lumpur, pada masa yang sama oleh kerana pembangunan yang pesat di sekelilingnya menjadikan Kampung Baru sebagai homestay hub di tengah-tengah bandar raya. Terima kasih.

Menteri Pelancongan [Datuk Seri Azalina binti Othman Said]:Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, bagi Yang Berhormat Titiwangsa sebenarnya kementerian tidak mempunyai kepakaran untuk menjawab soalan yang diberikan iaitu sama ada Kampung Baru dalam Bandar raya Kuala Lumpur perlu diletakkan dalam pendekatan kampung tradisional supaya boleh menjadi pusat kepada homestay hub bandar raya. Bagi pihak kementerian sebenarnya bila banyak permohonan untuk homestay Tuan Yang di-Pertua selalunya mereka hendakkan persekitaran kampung yang sebenar. Kalau dia hendak keluar pintu dia tak hendak tengok bangunan yang begitu tinggi. Dia hendak tengok semuanya dalam kampung.

Jadi itu selalu menjadi penilaian yang pertama. Walau bagaimanapun bagi saya kalau Yang Berhormat Titiwangsa ada beri cadangan boleh dibawa kepada kementerian dan kita boleh mengkaji tetapi kesimpulannya selalunya keputusan akhir akan dibuat oleh kementerian yang relevan dalam isu ini.

Tinggalkan jawapan