Antara Isu yang dibangkitkan – Teguran terhadap Perdana Menteri & Menteri yang tidak hadir persidangan Parlimen, Draf Pelan KL2020-Pembangunan Modal Insan, Pengangkutan Awam-OKU, Tindakan keatas Penjaja-penjaja Asing, Masalah Warganegara yang berkahwin dengan warganegara lain(Malaysia My Second Home ) dan Budaya Politik BN Di Masjid Surau.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ya, Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Saya pun kena laju sedikit. Saya mengambil peluang ini juga untuk membincangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan. Sebelum itu saya hendak menyatakan di sini sokongan saya atas penegasan Yang Berhormat Batu Gajah yang meminta supaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga meluangkan masa untuk bersama-sama dengan kita di Dewan Rakyat ini dalam sesi Parlimen terutama dalam membincangkan RMK-9. Saya juga menyatakan kekesalan dan mengingatkan apa yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Pahat iaitu bercakap dengan kerusi-kerusi yang tidak ada perasaan ini. Saya minta di sini agar Tuan Yang di-Pertua dapat membuat satu ruling sekurang-kurangnya salah seorang menteri atau timbalan menteri sepatutnya berada di dalam Dewan…
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Ada pegawai, ada pegawai.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Pegawai, adakah kita ini hanya layak untuk didengar oleh pegawai-pegawai sahaja Ahli-ahli Yang Berhormat?
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Di Dewan Undangan Negeri Selangor pun macam itu.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Saya ingin menyentuh…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tidak apa Yang Berhormat, jangan buat macam inilah Yang Berhormat. Minta maaflah.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Saya ingin menyentuh, saya teruskanlah ya Tuan Yang di-Pertua?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Saya ingin menyentuh tentang satu perkara iaitu berkenaan dengan Teras 2 dalam kajian separuh ini iaitu berkenaan dengan keupayaan meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama terutama strategi kelima di mana memenuhi hasrat memupuk nilai moral dan etika yang kukuh. Di sini saya ingin mengaitkan strategi ini dengan Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 di mana sekarang ini dalam fasa dikemukakan kepada rakyat. Di sini ada kekurangan dalam draf ini walaupun saya menghargai usaha DBKL mengemukakan draf ini dan walaupun tadi Yang Berhormat Seputeh telah menyatakan ada sebahagian daripada masyarakat menolak langsung draf ini. tetapi saya kira ini adalah satu usaha yang perlu diberi penghargaan kerana kita perlu memulakan sesuatu barulah kita akan mendapat satu respons sama ada positif ataupun negatif.
Cuma di sini yang kurangnya adalah terutama sekali adalah dari segi juzuk pembangunan modal insan itu sendiri. Di sini tidak ada satu ruang atau satu naskhah atau disentuh secara khusus tentang pembangunan kemanusiaan itu. Yang ada hanyalah orang kata sepintas lalu dalam kata sepuluh prinsip Hadhari yang saya kira hanyalah satu usaha touch and go sahaja. Jadi saya ingin membacakan di sini pendek sahaja, peringatan daripada Allah kepada kita semua. Ayat 74 surah Al-.Akraf.
‘Ingatlah bahawa Allah melantik kamu sebagai pengganti atau yang berkuasa setelah kaum Ad dan telah meletakkan kamu di dunia, kamu membina istana-istana di lembah dan tanah rata, memahat lereng-lereng bukit untuk kediaman peranginanmu, setelah itu ingatlah nikmat kemurahannya dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi dengan mengikut jejak mereka yakni orang-orang yang membuat kerosakan’.
Jadi di sini Allah mengingatkan kita untuk tidak bermaharajalela dengan mengikut jejak mereka yang melakukan kerosakan. Isu pembangunan insan ini saya rasa memang perlu diberi perhatian sebab kita tidak mahu bandar raya kita membangun tetapi pada masa yang sama indeks jenayah sama naik seperti naiknya pencakar-pencakar langit. Kita tidak mahu bandar raya Kuala Lumpur ini parah dengan pelbagai kesakitan masyarakat seperti orang kata keruntuhan moral dan akhlak dan sebagainya serta institusi perkahwinan juga kekeluargaan.
Jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, serta Tuan Yang di-Pertua yang dihormati.
Saya rasa isu keselamatan dan masalah akhlak dan kerosakan modal insan ini perlu diberi perhatian dan saya minta supaya satu volume atau satu juzuk yang khas hendaklah dikemukakan oleh DBKL sebagai satu strategic planning dari segi pembangunan modal insan itu sendiri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, di sini juga saya ingin menyentuh satu perkara tentang pengangkutan awam. Yang menjadi masalah sekarang ini walaupun telah ada perancangan-perancangan untuk membaiki pengangkutan awam apa yang menjadi masalah sekarang ini, saya lihat sistem pengangkutan awam perlu ditangani dengan serius. Saya telah pergi sendiri menaiki LRT di waktu puncak, di waktu pagi dan saya lihat di situ kepadatan yang bersangatan. Saya bimbang pada bila-bila masa sahaja kalau sedikit sahaja kecuaian dan kelalaian pengguna, boleh mengundang kepada kemalangan.
Jadi saya mohon supaya pihak yang berwajib iaitu pihak Kementerian Pengangkutan akan memberi satu perhatian yang khusus dan juga tindakan segera untuk mengatasi kesesakan pengangkutan awam sekarang. Tuan Yang di-Pertua yang dihormati, saya juga di sini ingin menyentuh tentang rintihan atau permintaan golong OKU. Mereka ini meminta supaya diberi keistimewaan kepada mereka untuk mendapatkan khidmat pengangkutan awam secara percuma.
Sebahagian besar syarikat-syarikat bas memang memberi tambang percuma kepada golongan OKU tetapi Rapid KL masih lagi tidak memberi tambang percuma kepada golongan OKU. Kalau boleh kita minta supaya Jabatan Kebajikan dengan ini seolah-olah orang kata memberikan satu syarat kepada semua syarikat pengangkutan awam agar memberi tambang percuma kepada golongan OKU termasuk OKU yang cacat penglihatan. Di sini saya juga ingin menyentuh sedikit tentang masalah penjaja-penjaja asing yang begitu berleluasa di kawasan Chow Kit yang pernah saya sentuh sebelum ini.
Saya ingat dalam sesi Parlimen yang lepas menteri yang berkenaan iaitu Menteri Dalam Negeri telah berjanji untuk diadakan satu usaha bersepadu untuk membanteras kata berleluasanya penjaja-penjaja asing terutama di kawasan saya sendiri di Chow Kit itu tetapi sehingga sekarang masih tidak ada apa-apa usaha konkrit yang saya lihat sama ada panggilan untuk mesyuarat ataupun orang kata brain storming session ataupun sebagainya untuk memastikan supaya masalah ini dapati kita tangani bersama-sama.
Jadi saya sekali lagi ingin mengingatkan kepada menteri yang berkenaan supaya mengotakan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Menteri tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh tentang rintihan yang disampaikan oleh satu golongan yang mungkin kita tidak sedar kewujudan mereka ataupun mungkin tidak begitu prihatin tentang kewujudan mereka iaitu pasangan-pasangan kepada rakyat Malaysia iaitu pasangan daripada kerakyatan luar negara. Maknanya isteri mereka ataupun suami mereka adalah daripada warganegara luar.
Mereka ini dilayan seolah-olah sebagai satu kumpulan atau golongan kelas kedua ataupun kelas ketiga. Mereka mengatakan Malaysia My Second Home itu adalah jauh lebih baik orang-orang yang datang, warganegara luar yang kita tawarkan untuk menyertai Malaysia as second home itu dilayan lebih baik daripada mereka sehingga joke di antara mereka, mereka mengatakan ‘Immigration Department is our second home‘.
Mereka dilayan dengan begitu teruk. Setiap tahun mereka terpaksa pergi memperbaharui visa lanjutan sebagai pasangan kepada rakyat Malaysia dan kadang-kadang mereka terpaksa menunggu sehingga enam dan tujuh jam di Immigration Department. Malah mereka tidak dapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka walaupun mereka itu berkelulusan tinggi dan juga seorang profesional.
Malah hendak membuka akaun pun bukan semua bank dan mereka terpaksa membayar harga warganegara luar apabila mendapatkan rawatan, sedangkan mereka telah pun menjadi isteri kepada rakyat Malaysia lebih daripada lima tahun, kadang-kadang sampai 15 tahun dan lebih daripada 20 tahun tetapi masih juga tidak mendapat kerakyatan Malaysia dan anak-anak mereka. Mereka juga melahirkan anak-anak yang merupakan rakyat Malaysia.
Jadi saya harap di sini dapatlah kementerian berkenaan membuat satu perubahan kepada peraturan, kepada isteri-isteri rakyat Malaysia yang merupakan warganegara daripada negara luar.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Satu minit lagi, Yang Berhormat.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ya, baik. Saya juga di sini mungkin last, sudah kata satu minit itu, saya hendak sentuh sedikitlah tentang masalah apa yang dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, jangan bawa fahaman politik dalam masjid dan sebagainya, tetapi saya dapati masih juga ada di kalangan jawatankuasa masjid yang mengetepikan Ahli-ahli Parlimen yang dipilih secara demokrasi terhad yang ada di Malaysia ini.
Jadi saya harap perkara ini tidak berlaku. Begitu juga di kalangan kakitangan kerajaan supaya fear culture itu hendaklah diubah. Sepatutnya tidak berlaku masalah takut untuk mendekati Ahli-ahli Parlimen yang dikatakan Ahli Parlimen Pembangkang daripada Pakatan Rakyat ini. Jadi di sini saya mohonlah kita membuat satu perubahan yang bersungguh-sungguh.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik, baik, Yang Berhormat.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sekian, terima kasih.
Difailkan dalam: DBKL, Kebajikan, Kuala Lumpur, Parlimen, Perniagaan





















