Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Saya tidak bersetuju dengan Yang Berhormat Pasir Mas yang menyokong kewujudan ISA ini, kerana kewujudan ISA ini boleh disalahgunakan oleh menteri, kerana menteri yang mempunyai kuasa untuk menahan dan melanjutkan penahanan. Seperti apa yang berlaku kepada dua orang tahanan ISA yang bernama Mat Sah Satray dan Samsuddin yang dilanjutkan daripada enam tahun kepada lapan tahun tanpa diberi apa-apa alasan kenapa dilanjutkan penahanan ini. Jadi mereka ini dituduh sebagai JI. Tidakkah cukup enam tahun itu untuk hendak membuktikan atau menyiasat dan sebagainya tetapi diteruskan. Ini adalah satu kezaliman. Apakah kita semua mahu terus bersekongkol dengan kezaliman seperti ini?
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat…
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Jadi saya mintalah supaya Yang Berhormat Timbalan Menteri menjawab agar kita semua jangan bersekongkol dengan kezaliman termasuklah daripada sebelah sana. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Sebelum Yang Berhormat menjawab…
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Yang Berhormat, boleh saya minta laluan sedikit sebab dia ada sebut nama saya tadi.
Tuan M. Manogaran [Telok Intan]: [Bangun]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Mas boleh duduk sekejap.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri benar tak?
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Mas boleh duduk sekejap dahulu? Duduk dahulu sekejap. Yang Berhormat Telok Intan begitu juga duduk sekejap. Ini yang saya sebutkan…
Tuan M. Manogaran [Telok Intan]: Tuan Yang di-Pertua, nanti Yang Berhormat Timbalan Menteri akan menggulung tiba-tiba saya takut. [Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua: Duduk sekejap dahulu. Ini yang saya sebut sebentar tadi, bahawa kalau ingin minta penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri itu, penjelasan yang diminta itu adalah ekoran daripada jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri, oleh kerana mungkin jawapan itu menimbulkan kesamaran bukan mengeluarkan fakta lain yang menimbulkan perbahasan. Apa yang saya dengar tadi daripada Yang Berhormat Titiwangsa seolah-olah sudah bercakap pendapat yang dikemukakan dengan Yang Berhormat Pasir Mas. Ini yang menghabiskan masa.
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tuan Yang di-Pertua, sedikit-sedikit biasalah dalam Parlimen. Cuma jangan berat-berat sangat. Saya hendak minta sedikit yang disebut tadi Yang Berhormat Titiwangsa…
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pasir Mas nanti dahulu. Yang Berhormat Timbalan Menteri mahu bagi laluan kepada Yang Berhormat Pasir Mas boleh?
Dato’ Chor Chee Heung: Tak apalah Yang Berhormat Pasir Mas saya akan jawab juga. Untuk makluman Dewan yang mulia ini…
Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Yang Berhormat jawab, saya hendak jelaskan pendirian saya.
Tuan Yang di-Pertua: Dia belum habis.
Dato’ Chor Chee Heung: Tak apalah, saya boleh jawablah. Jangan bimbang. Untuk menjawab soalan Yang Berhormat Titiwangsa ini telah banyak kali pihak-pihak pembangkang membawa masalah ini berulang-ulang kali, mengenai tidak bersetuju dengan terima pakainya ISA di Malaysia dan banyak kali juga kita membuat semasa menjawab soalan, semasa kita buat gulungan kita masih berpegang kepada hakikat bahawa ISA ini masih boleh diguna pakai secara lancar, secara adil di negara ini. Ini adalah satu akta pencegahan dan untuk makluman Dewan yang mulia ini setakat ini kita mempunyai 62 orang masih ditahan di Kamunting dan tidak sesiapa dalam golongan ini dikatakan dianiayai oleh mana-mana pihak, dan setakat ini saya percaya semua menteri menjadi Menteri Dalam Negeri tidak pernah mengguna kuasanya secara sewenang-wenangnya dan tidak salah guna kuasa pun.
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mensyuarat]
Kuasa ini digunakan untuk mencegah sebelum sesuatu berlaku yang akan menjadi satu masalah besar dari segi ketenteraman awam di negara kita. Ini adalah satu perkara yang kita harus menerima.
Difailkan dalam: Parlimen





















