Dr. Lo’ Lo’ Haji Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya ingin bertanya, saya juga mendapat jawapan bertulis tentang hasil kajian kaji selidik program ini (Program Jabatan Latihan Khidmat Negara-JLKN) seperti mana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi.
Jadi saya ingin bertanya apakah metode yang digunakan dalam kaji selidik ini. Kalau boleh diberi penerangan yang lebih terperinci supaya kita memahami bagaimanakah keluar angka-angka hasil kajian ini. Terima kasih.
Datuk Wira Abu Seman Yusop: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berkaitan dengan cara untuk menilai berkaitan dengan keberkesanan program yang telah dilaksanakan ini di mana pihak JLKN melaksanakan secara sampling iaitu daripada jumlah peserta yang hadir. Peserta-peserta ini akan diberi 20 soalan questionnaire bagi tiap-tiap satu modul dan daripada jumlah peserta yang hadir itu bahawa 10%nya telah diperoleh daripada jumlah peserta.
Daripada 10% yang telah dikenal pasti ianya dibahagikan mengikut kaum iaitu 60% peserta bumiputera, 28% peserta kaum Cina, 10% peserta India dan lain-lain 2%. Jadi, bagi sesuatu modul umpamanya modul fizikal, mereka ini akan dibagi soalan questionnaire 20 dan mereka akan menjawab melalui maklumat-maklumat yang dibagi melalui questionnaire ini yang mana ianya akan dibagi markah.
Pelatih-pelatih diberi markah menggunakan Skala Likert iaitu 1%-5% yang diperoleh dalam data menunjukkan bahawa pelatih memilih jawapan pada skala 4 dan 5 iaitu sebenar ataupun tidak. Keputusan inilah merupakan kaji selidik yang dibuat oleh pihak JLKN. Begitu juga bagi modul-modul yang lain di mana baki daripada 10% itu akan diambil daripada peserta-peserta ini di mana 10% yang baki ini tadi akan dibahagi kepada komposisi kaum tadi di mana bumiputera 60%, Cina 28%, India 10% dan lain-lain 2%.
Jadi ini akan dibuat kajian melalui cara yang sama bagi modul yang kedua umpamanya Modul Kenegaraan dan markah-markah dibagi sebagaimana yang saya nyatakan tadi dan sehinggalah keempat-empat modul ini. Inilah cara yang dilaksanakan oleh pihak JLKN.





















