Hansard 080710-Kriteria Permohonan Warganegara

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri atas jawapan yang diberikan tadi. Yang Berhormat Timbalan Menteri, sedarkah atau tidak, mengenai permit masuk ini dan keluar untuk suamikah atau pun isteri?

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Balun sahajalah, hentam sama dia.

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Selalu tiada susah payah dapat permit ataupun renew. Contohnya, kalau mana-mana satu pihak laki atau bini, dia orang kahwin warga asing. Contohnya daripada Indonesia. Permit kadang-kadang, renew bagi enam bulan, kadang-kadang bagi satu tahun. Daripada warga China, dia tetap bagi enam bulan. So, tiap-tiap enam bulan, dia punya laki memang mesti mahu pergi imigresen. [Ketawa]

Seorang Ahli: Suami.

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Ialah suamilah, dia punya laki. Suami dia, tiap-tiap enam bulan memang perlu pergi imigresen satu kali. Satu kali mungkin tidak boleh selesai. Mungkin tiga atau empat kali pergi baru boleh selesai. Memanglah tadi kata kuasa mungkin Ketua Pengarah Imigresen. Inilah kadang-kadang di bawah dia boleh salah guna kuasa. Suka kasi, tak suka suruh orang keluar dulu, masuk balik. Inilah yang berlaku.

So di sini saya mahu tanya, apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan pasangan suami atau isteri warga asing mendapat permit masuk lebih lama serta dipermudahkan syarat permohonan kerana kedua-duanya sudah pun mempunyai jaminan sama
ada suami ataupun isteri sebagai warganegara. Apakah pertimbangan daripada kementerian? Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Sila Yang Berhormat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II [Dato’ Wan Ahmad Farid bin Dato’ Wan Salleh]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat daripada Bintulu kerana mengemukakan soalan tambahan. Sebenarnya kita kena membezakan di antara pas sosial dengan permit masuk. Ia ada perbandingan sebab pas sosial ini hendaklah disambung dari semasa ke semasa. Kalau permit masuk, apabila sahaja ia diberikan, ia untuk selama-lamanya melainkan jika orang yang mendapat permit masuk itu melakukan kesalahan, barulah ia ditarik balik.

Jadi, saya tidak memahami maksud sebenar soalan, tetapi kalaulah yang dimaksudkan dengan soalan sambung itu, itu maksudnya pas sosial dan bukan permit masuk. Seperti biasa pertimbangan berhubung dengan ini hendaklah dibuat berasaskan kepada untuk mengetahui kerana masa yang diperlukan kebanyakannya adalah tempoh lima tahun untuk mengetahui sama ada benar atau tidak perkahwinan ini tulen atau tidak tulen. Kemudian barulah dipertimbangkan untuk permit masuk. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Titiwangsa.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya juga bersetuju dengan Yang Berhormat Bintulu berkenaan perkara ini. Tadi saya telah mendapat jaminan dari Yang Berhormat Menteri iaitu berkenaan dengan lima tahun adalah boleh kata a grace period ataupun masa yang mungkin diperlukan untuk memberi keyakinan bahawa perkahwinan ini adalah perkahwinan yang genuine dan mereka ini mungkin layak dipertimbangkan untuk menjadi warganegara Malaysia. Akan tetapi apa yang saya dapat, e-mel yang saya terima daripada beberapa pasangan warganegara luar ini, ada yang telah berkahwin selama 16 tahun. Anak sudah empat, lima orang tetapi setiap tahun masih lagi terpaksa pergi ke imigresen sehingga timbul joke di antara mereka, Jabatan Imigresen our second home, bukan Malaysia our second home. Jadi saya kira, kalau boleh diberi secara jelas apakah kriteria-kriteria yang membolehkan mereka dipertimbangkan untuk menjadi warganegara? Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat.

Dato’ Wan Ahmad Farid bin Dato’ Wan Salleh: Tuan Yang di-Pertua, soalan di hadapan kita adalah permit masuk, bukan soal warganegara. Permit masuk ini Tuan Yang di-Pertua, adalah keadaan diberikan bagi membolehkan orang yang masuk dapat permit masuk itu untuk mendapat penduduk tetap dan selepas itu barulah pergi kepada warganegara.

Jadi banyak perkara yang perlu dipertimbangkan untuk membolehkan seseorang itu menjadi warganegara dan juga permit masuk. Di antaranya yang perlu dibuat adalah siasatan yang terperinci termasuk tapisan keselamatan, proses temu duga, keupayaan mereka untuk bercakap bahasa Malaysia dan menyemak kesahihan maklumat demi keselamatan negara.

Perkara ini hendaklah diberikan keutamaan. Adalah diakui bahawa proses ini lambat, tetapi lambat ini bukan untuk apa, demi untuk keselamatan negara kerana kedaulatan negara perlu dipertahankan daripada kebebasan individu. Sesungguhnya warganegara itu adalah satu keistimewaan, bukan satu hak yang diberikan oleh kerajaan kepada warganegara asing. Terima kasih.

3 Respons

  1. Salam.
    Saya warganegara yang ditakdirkan jodoh dengan seorang berdarah Arab, tetapi berpeluh Melayu (sebab makan belacan)
    Suami saya berhijrah ke Malaysia semenjak berumur 7 tahun kerana mengikuti ibu dan ayahnya yang bertugas di Malaysia. Sejak datang sini, dia tidak pernah keluar dari Malaysia sehinggalah kini umurnya 24 tahun. Saya amat bersimpati terhadap krisis identiti yang berlaku dalam dirinya. Dia tidak fasih bahasa Arab. Jauh sekali membaca atau menulis. Namun tetap perlu ke kedutaan negara asalnya bersama penterjemah Arab-Malayu untuk isi borang renew paspotnya .Bahasa Melayu adalah bahasa utamanya. Budaya Arab dia tak kenal. Budaya Melayu sudah sebati. Singkat cerita, Melayu `celup`. Lucu, kadang2 semangat kemelayuannya melebihi Melayu sendiri. Tapi..di Malaysia dia tetap warga asing,kalaupun dia pulang ke negaranya,dia adalah warga yang `terasing` di negara sendiri. Ibaratnya sama seperti orang Melayu tiba2 terpaksa menetap di negara Arab. Budaya dan bahasa yang asing sekali!
    Terharu, dia kata yang dia benar2 mengerti bahawa dia warga asing bila masuk sekolah menengah. . Baru dia sedar yang dia mempunyai paspot dan visa yang perlu direnew setiap tahun.Rasa rendah diri terhadap kawan2 disekolah mula menekan jiwa. Ada juga kawan2 yang mengejek.
    apakan daya…diusia tujuh tahun,dia tak tahu apa2, hanya mengikuti ke mana saja ayah dan ibunya pergi.

    Pendek cerita, takdir mempertemukan kami.Kami berkahwin atas dasar cinta yang tulen….:) Kini usia perkahwinan kami tepat tiga tahun. Syukur dengan kebahagiaan ini..Permata hati kami…kini berusia setahun tidak termasuk sepasang kembar yang telah pergi selamanya…
    Kami setiap tahun perlu ke imigresen untuk renew visa suami. Baru semalam kami ke imigresen untuk memohon spouse program sekali gus lima tahun. Tapi rupa2nya sudah tiada program tu lagi. Yang ada kami perlu tiap2 tahun datang renew. Tak mengapalah. Ikut saja undang2. Saya hormat undang2.Namun,saya selalu fikir takut kehilangan suami dari mata. Takut permata hati kami berjauhan dengan bapa yang disayanginya…Persoalan adakah suami akan berpeluang untuk tinggal di Malaysia selama mungkin walaupun renew visa tiap tahun??? alangkah baiknya jika ada sedikit jaminan atau sedikit kemudahan demi anak kami….demi ketenangan cinta kami… Atau adakah suami berpeluang mendapat permit masuk? Jika ada apa syarat2nya?
    Mungkin ada yang mengatakan : `inilah risiko yang perlu ditanggung jika kahwin dengan warga asing”. -Tapi, apa yang mampu saya katakan disini…ini soal jodoh. Lagipun suami datang ke Malaysia ketika dia tidak mengerti apa2 pun tentang sempadan dunia. Bukan kehendaknya. Semuanya takdir Tuhan.

    Jawapan – Terima kasih Puan Siti, pindaan peraturan Imigresen adalah dibawah kuasa Kerajaan yang mentadbir. Apa yang kami cadangkan adalah supaya Suami Puan memohon bagi mendapatkan taraf Penduduk Tetap di Jabatan Pendaftaran Negara memandangkan beliau telah lama berhijrah ke Malaysia.

    Berdasarkan peruntukkan Undang-undang beliau boleh memohon untuk menjadi warganegara selepas berusia 21 tahun (Sekarang ini sudah 24 tahun) atau sekurang-kurangnya memohon untuk menadapatkan taraf Penduduk Tetap agar tidak perlu lagi berulang alik ke Imigresen.

    Walaubagaimana pun, memang banyak juga prosedur yang perlu diikuti bagi sebelum melayakkan beliau mendapat taraf berkaitan.

    Sekian Terima Kasih.

  2. salam…
    saya lahir dari ibubapa yg mpunyai kerakyatan indonesia..padea awal usia saya 13 tahun,saya diserahkan kpd kluarga angkat saya dan mendapat sijil penjagan yg dikeluarkn oleh mahkamah syariah..
    saya hanya mempunyai surat lahir sehingga sya berumur 18 tahu..,berulang alik saya ke jpn,tetapi malangnya saya tdk diberikan kelayakn untuk memiliki kad pengenalan wlupun hanya kad pengenalan sementara…..
    oleh yang dmikian sya pun membuat paspot indonesia ats jaminan pembantu rumah.sbb ada yg mengatakan lbh umor 18 akn kenakan tindakan undang2 jika tidak mliliki kad pengenalan@paspot jaminan wlupun mmiliki surat lahir…
    hari ini dah setahun lebih permohonan permit masuk yang saya buat di imigresen tetapi shingga hari ini belum ada apa2 jawapan diberikan..
    skrg,,apa yg perlu saya lakukan supaya proses permohonan permit masuk itu diluluskan dangan segera??
    kalau diikutkan memang saya ada kelayakan untuk menjadi penduduk tetap sbb sya ada surat lahir n fasih dalam berbahasa melayu..

    PKMT-Sila datang ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa untuk buat laporan terperinci:

    Alamat Pejabat;
    Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa
    No.10, Jalan Raja Muda Musa,
    50300 Kampong Bharu
    Kuala Lumpur
    Tel : 03-26980025
    Faks : 03-26980026

  3. salam…
    saya menetap disabah..
    nak pergi ke pusat khidmat wakil rakyat titiwangsa di kuala lumpur tu jauh…
    mungkin kah ada tempat diSabah yang boleh saya buat rujukan??

Tinggalkan jawapan