Hansard 080710-Kualiti, Saiz dan Infrastruktur Perkhidmatan untuk rumah-rumah awam dan PPR

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Boleh saya minta penjelasan sedikit? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Berkenaan dengan kualiti rumah-rumah perumahan awam ataupun PPR yang disediakan itu memang rumah rakyat. Jadi kita dapati di situ, satu memanglah daripada segi luasnya cuma dalam 650 kaki persegi. Akan tetapi, bukan itu sahaja. Kemudahan-kemudahan awam juga sangat kurang.

Antara contoh, misalnya di Desa Rejang, Setapak. Pemindahan daripada Pekeliling di mana saya pernah bangkitkan beberapa di situ, di mana mereka begitu bersungguh-sungguh meminta kerajaan menyediakan satu rumah mayat kepada kaum bukan Islam. Bayangkan apabila ada kematian, mereka tidak boleh bawa naik ke atas mayat kerana dalam flat. Mereka terpaksa meninggalkan mayat di bawah dengan membina khemah-khemah sementara. Ini bukan sahaja tidak selesa bagi mereka, mungkin juga tidak selesa bagi mereka-mereka yang lain atau pihak-pihak lain yang tidak terlibat dengan kematian itu.

Begitu juga kemudahan pasar yang tidak disediakan dengan baik, sedangkan mereka telah duduk di situ beberapa tahun, pasar cuma orang kata macam gerai-gerai sahaja. Malah, orang kata peti pos pun tidak ada. Alhamdulillah baru-baru ini, saya telah berjaya mendapatkan peti pos untuk Desa Rejang yang merupakan kawasan Parlimen Setiawangsa Menteri Wilayah Persekutuan.

Puan Hajah Zuraida Kamaruddin [Ampang]: Sedikit. Menteri, tambah sedikit.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan [Datuk Saravanan a/l Murugan]: Timbalan menteri.

Puan Hajah Zuraida Kamaruddin [Ampang]: Timbalan menteri, sorry Tuan Yang di-Pertua. Saya since tadi dia sebut kerana saya yang ajukan perkara ini juga, saya sokong dengan apa Yang Berhormat Titiwangsa katakan tadi kerana apa yang saya perkatakan di situ bukanlah mengenai bilik. Bilik memanglah tambah satu, dua, tetapi kalau saya ingin go into detail, the room also has been the same size since for many, many years. So, jadi mengikut saiz ukuran bilik pun, tidak selesa untuk rakyat Malaysia yang dikatakan negara maju ini.

Yang keduanya, apa yang saya bangkitkan dalam prasarana, infrastruktur kemudahan awam seperti apa yang telah dikatakan, cuma dari segi dewan, parks, taman permainan kanakkanak, tidak ada satu environment yang kondusif untuk masyarakat yang berpendapatan sedemikian untuk pulang ke rumah mereka agar mendapat satu kebanggaan bahawa mereka tinggal di satu kawasan perumahan yang selesa dan mereka boleh pulang hari-hari, dengan persekitaran yang dapat membolehkan anak-anak mereka menikmati hidup sebagai warganegara Malaysia yang sepatutnya diberikan satu kualiti hidup yang lebih tinggi daripada sekarang. Terima kasih.

Datuk Saravanan a/l Murugan: Terima kasih Ahli Yang Berhormat daripada Titiwangsa. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Barisan Nasional memang peka terhadap segala permintaan masyarakat umum khususnya dari segi infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas.

Peringkat pertama, kita telah menyiapkan rumah-rumah PPRT dan peringkat kedua, kementerian akan melaksanakan semua kemudahan asas termasuklah tempat-tempat letak mayat untuk menjalankan upacara pengebumian dan sebagainya. Saya beri jaminan kepada Yang Berhormat bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur akan memastikan setiap kawasan perumahan PPRT akan dilengkapi dengan semua keperluan asas. Kerajaan memang peka.

Terima kasih atas pandangan Yang Berhormat dan saya cukup bangga Ahli Parlimen daripada Ampang turut prihatin terhadap kemajuan di Wilayah Persekutuan. Ini menunjukkan beliau sebagai Ahli Parlimen memang cukup prihatin untuk seluruh tanah air kita.

Terima kasih Yang Berhormat. Dari segi luas, apabila tahap kedua Rumah Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 1982–1996, konsep pembinaan rumah awam tahap ini pula berdasarkan kepada penyediaan unit kediaman dua bilik dan keluasan 500 kaki persegi. Contohnya, Rumah Awam Seri Sabah, Seri Perak, Seri Kota dan Seri Tioman.

Tahap ketiga untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, pembinaan rumah awam daripada tahun 1997–1998, pembinaan rumah awam tahap ini berkonsepkan unit kediaman dua bilik juga tetapi luas iaitu 560 kaki persegi. Sebelum ini 500 kaki persegi dan selepas tahun 1997, 560 kaki persegi.

Saya harap Yang Berhormat ambil kira kesesakan ataupun tiada mempunyai tanah di Wilayah Persekutuan. Contoh projek perumahan tahap ini ialah PPR Seri Pantai, PPR Seri Gombak Setia, dan PPR Jelatek. Sebanyak 5,025 unit kediaman telah dibina dalam kategori ini.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: [Bangun]

Datuk Saravanan a/l Murugan: Sekejap Yang Berhormat. Let me finish it, terima kasih.

Tahap yang keempat, rumah MTEN tahun 1999 sehingga sekarang. Projek Perumahan Rakyat MTEN yang dibina oleh Jabatan Perumahan Negara, unit kediaman tiga bilik. Contohnya, PPR Raya Permai, PPR Perkasa dan PPR Laksamana. Sebanyak 29,268 unit telah dibina di bawah kategori ini dan sejumlah 5,660 unit lagi akan disiapkan pada tahun ini.

Selain daripada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah merancang dan akan menyediakan kemudahan awam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kemudahan-kemudahan prasarana awam seperti penyediaan surau, dewan serba guna, kedai, gerai, pusat warga emas dan tadika yang dahulunya tidak disediakan turut dimasukkan dalam rancangan pembangunan PPR. Dengan penyediaan kemudahan-kemudahan tersebut, para penghuni PPR di Kuala Lumpur akan dapat menikmati taraf kehidupan yang lebih selesa.

Tinggalkan jawapan