Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Saya hendak bercakap sedikit. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri kerana jangkaan saya akan bangun berulang-kali, harap dapat sentiasa diberi laluan. Saya pun hairanlah Yang Berhormat Timbalan Menteri walaupun saya pujilah Yang Berhormat Timbalan Menteri turun bersama-sama dengan rakyat bergotong-royong di Chow Kit termasuklah dengan Ahli Parlimen Titiwangsa tetapi bagaimana Yang Berhormat Menteri kata tidak ada projek kerajaan yang terbengkalai sedangkan di kawasan saya sahaja, Datuk Keramat, Titiwangsa masih ada dua lagi projek yang terbengkalai yang sudah bertahun-tahun.
Pertama ialah Dewan Orang Ramai Datuk Keramat, yang keduanya Taman Tasik Datuk Keramat. Kecil sahaja taman itu tetapi terbengkalai bertahun-tahun. Jadi saya harap Yang Berhormat Timbalan Menteri kena turun juga ke padang malah ada satu lagi projek terbengkalai sejak Titiwangsa dimenangi oleh Pakatan Rakyat baru berjalan iaitu Pasar Moden Datuk Keramat di mana alhamdulillahlah hampir 80, 90% siap. Cuma ada satu perkara masalah di situ di mana peniaga-peniaga ikan dan ayam tidak mahu berpindah ke situ kerana tempat yang disediakan untuk mereka itu, tempat jualannya di sini, tempat penyediaannya di sana.
Jadi bayangkan macam mana orang meniaga ikan ini hendak potong di sana, lari ke sini timbang dan sebagainya, jadi tidak logik. Jadi bolehkah agaknya di sini timbalan menteri memberi akuan supaya boleh turun ke Pasar Datuk Keramat dan lihat masalah ini dan mungkin insya-Allah boleh diperbetulkan sementara masih lagi dalam pembinaan. Terima kasih.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Tuan Yang di-Pertua: Mahu kasi laluan juga Yang Berhormat ini? Okey, sila.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Timbalan Menteri. Mengenai dengan projek terbengkalai ini, di Wangsa Maju di Seksyen 2, ada masjid yang sudah siap saya rasa tetapi masih terbengkalai oleh kerana tiada pembukaan dan juga tidak digunakan. Bolehkah Yang Berhormat Timbalan Menteri beritahu kenapakah projek masjid yang baru ini sudah siap tetapi bertahun sudah saya rasa tidak dibuka dan tidak digunakan. Terima kasih.
Saya juga hendak menyatakan kami di sini merasa sedih mendengar berita Menteri Wilayah sakit dan kita harap beliau akan recover dengan cepat dan saya ada banyak soalan untuk bahagian menteri tetapi saya tidak akan tanyakan pada hari inilah. Terima kasih.
Datuk Saravanan a/l Murugan: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Seperti mana yang dikatakan tadi, setiap semua projek di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah dilaksanakan dengan sempurna. Apabila ada projek-projek swasta yang terbengkalai di mana bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan. Mengenai projek perumahan secara estet di Jalan Ranca-Ranca di Labuan, antara sebab projek-projek ini terbengkalai ialah pemaju mempunyai masalah kewangan, pemaju mempunyai masalah dengan rakan usaha sama atau pemaju mencari rakan usaha sama yang baru, masalah lokasi yang tidak sesuai, pinjaman bank yang masih tertangguh, projek masih dalam kes mahkamah oleh kontraktor terdahulu dan sepertinya.
Jadi inilah salah satu sebab di mana projek-projek swasta terbengkalai. Walau bagaimanapun, Kementerian Wilayah Persekutuan telah menubuhkan dua buah jawatankuasa bagi menangani masalah serta isu yang berkaitan dengan projek terbengkalai.
Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut ialah, Jawatankuasa Pemandu Menangani Masalah Projek Terbengkalai di Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri sendiri dan Jawatankuasa Kerja Menangani Masalah Projek Terbengkalai di Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan.
Peruntukan undang-undang yang boleh digunakan ialah di bawah Housing Development Act dengan izin, iaitu di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bagi projek-projek yang mana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah sau pihak di dalam perjanjian projek berkenaan, peruntukan mengenai kemungkinan ianya di pihak pemaju dimasukkan di bawah perjanjian selain dari peruntukan mengenai penamatan perjanjian. Apabila berlaku kemungkinan terma-terma dan syarat-syarat perjanjian seperti kegagalan menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan dan dipersetujui bersama.
Isu yang mengenai pasar. Pasar di Parlimen Titiwangsa, kenyataan Ahli Yang Berhormat Ahli Parlimen Titiwangsa bahawa selepas PKR menang dan dapat dilaksanakan adalah tidak benar. Sebenarnya kita melaksanakan semua projek secara berperingkat dan Jawatankuasa Kementerian Wilayah Persekutuan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Wilayah Persekutuan Action Force untuk memperkasakan dan menaiktarafkan semua pasarpasar di seluruh Wilayah Persekutuan.
Isu daripada Ahli Parlimen Wangsa Maju, projek terbengkalai dan projek yang telah disiapkan, belum dirasmikan adalah jauh berbeza Yang Berhormat. Kadang-kadang isu masjid ini bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan. Kebetulannya di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam. Walau bagaimanapun Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji dan menyiasat apakah punca dan akan mengambil tindakan serta-merta. Terima kasih.
Difailkan dalam: DBKL, Ekonomi, Kuala Lumpur, Parlimen





















