KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Pembangunan Kampung Baru yang dirancang dalam Deraf Pelan Kuala Lumpur 2020 seharusnya dilaksanakan oleh anak jati penduduk kampung itu sendiri, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
Khalid berkata pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada penduduk kampung itu yang mahukan pembangunan diteruskan dengan hasil usaha mereka sendiri di samping membantah rancangan pengambilalihan tanah mereka seperti yang dicadang dalam pelan itu.
Katanya, penduduk Kampung Baru akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi merencana program pembangunan kampung itu.
“Kita akan membantu bagi menentukan Kampung Baru tidak terus terpinggir, dan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dana sebanyak RM50,000 akan disediakan bagi membuat kajian terhadap pembangunan di Kampung Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Menteri Besar Selangor bersama penduduk Kampung Baru mengenai “Masa Depan Kampung Baru Bersama Selangor atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur” di Kelab Sultan Sulaiman di sini, Ahad.
Abd Khalid berkata tindakannya membantu pembangunan dan menyelesaikan permasalahan yang dialami penduduk kampung terbabit bukan bertujuan politik sebaliknya sebagai menjalankan tanggungjawab dalam memastikan kepentingan hak-hak orang Melayu dipelihara sekaligus menjadikan Kampung Baru sebagai satu kawasan membangun dalam bandar Kuala Lumpur.
“Saya tidak mahu dipolitikkan dalam usaha tersebut. Saya merasakan masyarakat Kampung Baru ini perlu diberi sokongan untuk usaha yang telah lama ketinggalan, penting bagi saya buat masa sekarang satu tugas kita untuk memberitahu DBKL bahawa pembangunan hartanah Kampung baru ini mesti difikirkan dan mengambil kira kehendak masyarakat kampung ini,” katanya.
Walaupun tanah-tanah Kampung Baru ditadbir urus Malay Agriculture Settlement (MAS), namun dari segi pelaksanaan dasarnya segala urusan diserahkan kepada DBKL, katanya.
Katanya mengikut perlembagaan MAS, Pengerusinya haruslah Menteri Besar Selangor sebagai wakil Kerajaan Selangor tetapi apa yang berlaku kini, pengerusinya adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur. Setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 50 draf bantahan terhadap cadangan pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan.
Sementara itu, Anggota Parlimen Titiwangsa Dr. Lo’lo Mohd Ghazali berkata beliau akan meminta pihak DBKL untuk melanjutkan tempoh masa pelaksanaan draf tersebut bagi membolehkan pasukan perunding mengkaji pelan pembangunan itu.
Dialog berkenaan dianjurkan oleh Dr Lolo bagi membuka ruang untuk semua pihak memahami status tanah, tanggungjawab dan hak mereka, khususnya dalam menimbangkan cadangan DBKL yang kini telah melancarkan Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 untuk penilaian rakyat.
– BERNAMA
Difailkan dalam: DBKL, Ekonomi, Kuala Lumpur, Parlimen, Politik





















