Seharusnya Saravanan Letak Jawatan, Jangan Masuk Campur Di Kg. Bharu

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan, Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa, Datuk Seri Suleiman Mohamed, dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Baharim Razak berhubung isu Kg. Bharu dalam media hari ini benar-benar mengejutkan ramai pihak.

Apa yang difokuskan adalah tentang penglibatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah diajak berdialog bersama penduduk Kg. Bharu pada 3 Ogos yang lalu. Program dialog berkenaan adalah anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, YB. Dr. Lo’lo’ Binti Dato’ Hj. Mohamad Ghazali.

Kenyataan ketiga-tiga mereka memperjelaskan lagi keenganan Umno dan Barisan Nasional dalam membantu penduduk Kg. Bharu dengan ertikata yang sebenarnya. Mereka bersembunyi dibalik jawatan masing-masing tetapi hakikatnya mereka juga mempunyai kaitan dengan Gabem iaitu sayap ekonomi Umno yang terlibat dalam perancangan Membangunkan Kg. Bharu.

Kerajaan Selangor Punyai Kepentingan Di Kg. Bharu

Dalam kekalutan mereka menghentam Menteri Besar Selangor mereka terlupa bahawa Kerajaan Selangor mempunyai aset dan hartanah yang bernilai tinggi di Kg. Bharu. Isu campurtangan Menteri Besar Selangor sengaja dihangatkan dan mereka bersepakat untuk memastikan Kerajaan Selangor melepaskan kepentingan mereka di Kampung Melayu terakhir ini.

Kehadiran Menteri Besar Selangor pada Ahad lalu adalah untuk perbincangan dalaman yang hanya melibatkan pemilik dan pewaris tanah. Tiada sesiapa pun orang luar dibenarkan bersuara kecuali Ahli Parlimen Titiwangsa yang turut dipertanggungjawabkan menjaga seluruh Titiwangsa termasuklah Kg. Bharu.

Tan Sri Khalid hadir sebagai mewakili Kerajaan Negeri yang turut menjadi pemilik tanah di Kg. Bharu. Jadi tidak timbul isu bahawa Kerajaan Selangor tidak boleh campurtangan.

Beliau juga berhak untuk menghantar wakil untuk memastikan tanah-tanah PKNS dan mereka yang masih menjadi rakyat Selangor di Kg. Bharu terpelihara.

Menteri Besar Selangor juga berhak membantah Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 yang dicadangkan jika ianya memberikan kesan negatif kepada aset Kerajaan negeri yang ada disitu.

Justeru itu saya meminta agar pihak Kementerian Wilayah, Umno, Persatuan Penjaja dan DBKL menghormati kedudukan dan hak Menteri Besar Selangor.

Penduduk Tidak Tolak Pembangunan

Sejak zaman kemerdekaan lagi, Kg. Bharu telah banyak diabaikan. Jika dilihat dari pandangan mata kasar, didalam Kawasan Kampung ini Kerajaan Negeri Selangor telah membangunkan beberapa aset mereka untuk dijadikan kediaman bagi kegunaan penduduk seperti Flat PKNS. Tetapi diperingkat DBKL belum ada lagi sebarang flat atau projek perumahan yang dibangunkan.

Jadi tidak hairanlah jika penduduk Kg. Bharu lebih menghormati Kerajaan Selangor berbanding Kementerian Wilayah atau pun DBKL.

Walaubagaimana pun, itu tidak bermakna penduduk menolak bantuan atau pembangunan yang dicadangkan oleh DBKL seratus peratus. Tidak dinafikan memang ada cadangan yang positif tetapi secara keseluruhannya perbincangan semula perlu diadakan memandangkan kebanyakkan penduduk masih tidak puas hati dengan Yang DiPertua MAS yang tidak pernah turun sendiri untuk berdialog dengan pemilik dan waris di Kg. Bharu.

Kedudukan Yang DiPertua MAS Dipersoalkan

Difahamkan juga bahawa Yang DiPertua MAS yang juga Datuk Bandar Kuala Lumpur bukanlah anak jati Kg. Bharu dan beliau juga tinggal di Putrajaya bukannya di Kampung ini. Malah lebih menyedihkan, beliau juga tiada hartanah di Kampung ini. Duduknya beliau dijawatan itu hanya kerana beliau itu Datuk Bandar Kuala Lumpur. Jadi jika ingin dipersoalkan tentang kerelevenan beliau sebagai Yang DiPertua MAS memang boleh dan beliau sendiri tidak layak untuk membuat keputusan bagi pihak penduduk Kg. Bharu terhadap Draf yang dicadangkan oleh DBKL.

Jika Saravanan, Suleiman Mohamed dan Baharim Razak ingin jadi hero mereka sewajarnya memberikan amaran dan meminta Datuk Bandar letak jawatan dari menjadi Yang DiPertua MAS dan tempatnya itu digantikan oleh anak Kg. Bharu yang dipilih melalui pilihanraya kecil peringkat penduduk sebagaimana yang berlaku sebelum tahun 1961.

Selain itu, Saravanan yang juga ahli Parlimen Tapah selayaknya meletakkan jawatan dari menjadi Timbalan Menteri Wilayah kerana beliau patut jaga pengundi beliau di sana bukannya Wilayah Persekutuan. Jika ingin bicara soal hak, jawatan beliau dalam parti MIC masih belum cukup untuk membolehkan beliau bercakap soal Kg. Bharu.

Saya mengingatkan agar ketiga-tiga individu ini tidak bertindak bodoh untuk menyerang pihak-pihak berkepentingan dalam isu Kg. Bharu ini jika mereka tidak mahu dimalukan kelak.

Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa Bersedia Bekerjasama dengan semua Pihak

Diperingkat pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa, kami berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Selangor yang menyumbang RM 50,000 bagi membantu pihak kami mengadakan penyelidikan dan cadangan pembangunan Kg. Bharu bersama penduduk. Sebelum ini kami hanya bekerja sendiri dengan mengunakan pakar-pakar yang ada kalangan kami, dan selepas waktu ini diharapkan akan lebih ramai lagi profesional dari kalangan penduduk yang mahu bekerjasama.

Kami juga membuka ruang yang luas untuk mengadakan kerjasama dengan DBKL dan terpulanglah kepada Datuk Bandar dan Ketua Pengarah DBKL untuk memikirkan bentuk kerjasama itu. Mereka sewajarnya menghormati wakil rakyat yang dipilih dan tidak bekerja  hanya untuk Barisan Nasional dengan mengunakan uniform DBKL.

Sudah banyak program kemasyarakatan yang melibatkan organisasi Kementerian Wilayah dan DBKL didalam kawasan Titiwangsa, tetapi sengaja tidak dimaklumkan atau menjemput ahli Parlimen Titiwangsa. Permainan politik ini sewajarnya dihentikan agar rakyat dapat menikmati hak mereka yang telah memilih wakil rakyatnya.

Herman Samsudeen
Setiausaha Politik
YB. Dr. Lo’lo Binti Dato’ Hj. Mohamad Ghazali

Satu Respons

  1. Salam.

    1. saya bersetuju dgn kenyataan drp sdr herman.

    2. sbg anak muda di kampung baru, permainan politik sudah cukup jelas hendak memperbodohkan penduduk kg baru.

    3. penguasa harus ingat barangkali taktik ‘murahan’ ini berjaya 10 mahupun 20 tahun dulu tapi bukan sekarang. penduduk sudah semakin matang dan penipuan demi penipuan sudah pun tebongkar.

    4. MAS sendiri ada masalah yg tak terselesai smp bila2.

    5. golongan2 ‘gila kuasa’ ini beranggapan merekalah hero dlm menjuarai isu kg baru, padahal merekalah yg ada kepentgan dlm isu ini. kalau tak, takkan masalah ini berlarutan shgg ke beberapa generasi?

    6. sbg pewaris tanah kg baru dan juga generasi ketiga anak jati kg baru, sy rasa sdh smp masanya kita “walk the talk” dan bukan sekadar pandai bg statement kat akhbar “jgn campuri urusan kg baru” sdgkan mereka sendiri tak berbuat apa2.

    maaf, jika ada yg terasa. kalau ada cepat2 lah insaf. sekian, wassalam.

    aklil ayob
    uia kuantan

Tinggalkan jawapan