Pelan DBKL kurang disenangi penduduk- Dr Lo’ Lo’

Sinar Harian : Rintihan penduduk Kampung Baru Kuala Lumpur berhubung mekanisme pembangunan kawasan tanah mereka yang dicadangkan dalam Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 mendapat perhatian Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali.

Walaupun ada pihak berpendapat isu itu dijadikan permainan politik untuk kepentingan pihak tertentu, Dr Lo’Lo’ menyifatkan permasalahan penduduk terletak dalam kawasan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat.

Mengikut laporan dalam draf pelan itu, Kampung Baru berkeluasan 378.93 ekar, meliputi kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS) dan kawasan luar MAS.

Kawasan MAS seluas 225.89 ekar, terdiri 874 lot mengandungi tujuh kampong iaitu Kampung Periok, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujong Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Kawasan luar MAS pula seluas 153.04 ekar, dengan 918 lot terdiri lima kawasan, iaitu Chow Kit, Dang Wangi, Sultan Ismail, Kampung Sungai Baru dan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Penduduk Kampung Baru berpendapat draf yang dikemukakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu disifatkan tidak mengambil kira suara mereka.

Perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan penduduk ialah pembangunan yang dirancang seolah-olah membelakangkan hak penduduk mereka.

Antara pendekatan cadangan draf berkenaan, dalam kes pelaksanaan pembangunan tanah MAS, pemilik yang kesemuanya Melayu mesti menggunakan tanah milik mereka sebagai kekuatan yang sedia ada supaya dapat membangunkan tanah-tanah mereka dengan segera dan digunakan secara optimum.

“Masyarakat Melayu tidak boleh membiarkan harta yang dimiliki dipetisejukkan manakala bangsa lain berkembang memajukan tanah mereka. Orang Melayu perlu mengubah paradigma pemilikan hartanya secara ‘sentimental’ kepada yang lebih praktikal,” menurut draf itu.

Ia turut mengesyorkan tanah MAS yang belum dibangunkan dan yang sudah dikenal pasti agar dibangunkan oleh badan kerajaan seumpama syarikat kerajaan (GLC).

Beberapa cadangan kaedah digariskan dalam pelaksanaan strategi itu, antaranya mengambil balik kawasan tanah MAS yang dikenal pasti dalam Seksyen 3 (1) (b) APT 1960. Pemilik-pemilik tanah boleh memilih sama ada menerima pampasan dalam bentuk wang tunai atau sebahagian wang tunai dan sebahagian harta tanah yang hendak dibangunkan oleh pemaju.

Namun, satu lagi mekanisme pengurusan dan pelaksanaan melibatkan satu lagi pendekatan di kawasan pengekalan pemilikan tanah melibatkan kawasan MAS dan luar MAS.

Bagi kawasan MAS, kaedah yang dicadangkan meliputi pembangunan lot, pembangunan tanah bersepakat dan Transfer of Development Right (TDR).

Bagi kawasan luar MAS, kaedah yang dicadangkan berbentuk Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dan pembangunan tanah bersepakat.

Lantaran itu, penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa hal dalam mekanisme pembangunan yang dicadangkan dalam draf itu dan membawa perkara tersebut untuk perhatian Dr Lo’Lo’.

Menurut Dr Lo’ Lo’, walaupun Kampung Baru sudah diambil alih secara pentadbirannya oleh Wilayah Persekutuan, namun tanahnya masih kekal dalam peraturan Malay Agricultural Settlement atau MAS, dan Menteri Besar Selangor selaku Yang Dipertuanya.

Justeru itu, dalam suatu majlis penerangan dengan penduduk kampung pada 3 Ogos lalu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diundang mengadakan sesi dialog.

Dr Lo’ Lo’ menafikan yang isu Kampung Baru ini dipolitikkan dan sengaja meminta campur tangan kerajaan negeri Selangor.

“Mereka yang mengatakan Menteri Besar Selangor hendak campur tangan itu maknanya mereka orang yang buta sejarah. Selangor dengan Kampung Baru merupakan suatu sejarah yang sangat panjang dan termaktub dalam Enakmen Tanah Selangor yang masih lagi kekal dan tidak pernah dimansuhkan,” katanya.

Katanya, penduduk setempat sendiri menawarkan kerajaan negeri Selangor membangunkan kampung mereka berdasarkan rekodnya yang terbukti pernah membangunkan Kampung Baru.

“Penduduk Kampung Baru mahu hak mereka terjaga, keduanya mereka mesti menjadi bahagian daripada pembangunan dan ketiganya mereka diberi peluang menentukan konsep pembangunan yang mereka mahukan,” ujar beliau.

Dr Lo’ Lo’ memberitahu Badan Bertindak Pembangunan Kampung Baru lantas ditubuhkan oleh anak-anak kampung berkenaan.

Beliau selaku penasihat berharap badan itu dapat menentukan konsep pembangunan yang dijangka memberi manfaat secara langsung kepada penduduk kampung.

“Saya berharap semua pihak jujur dalam usaha menyelesaikan isu ini termasuklah yang mengatakan hendak memastikan kepentingan orang Melayu. Saya percaya keikhlasan Tan Sri Abdul Khalid selaku Menteri Besar dan Yang Dipertua MAS serta pengerusi PKNS bagi membantu penduduk Kampung Baru menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,“ katanya.

Satu Respons

  1. Assalamualaikum YB,

    Pada hemat saya, Kg. Baru amat memerlukan rangkaian jalan-jalan yang baik bagi memacu pertumbuhan aktiviti komersial dan juga nilai hartanah setempat. Ini secara langsung akan memanafaatkan pemilik tanah dan penduduk Kg. Baru. Sila pertimbangkan cadangan dibawah:

    http://farm4.static.flickr.com/3197/2783074781_b728893289_o.jpg
    http://farm4.static.flickr.com/3096/2783883128_f22ab25ac5_o.jpg
    http://farm4.static.flickr.com/3030/2783029297_e22fd2683e_o.jpg

    Wassalam.

    Jawapan – cadangan tuan akan kami masukkan dalam senarai cadangan Badan Bertindak Kg. Bharu.

Tinggalkan jawapan